SOALAN DAN JAWAPAN BERKENAAN SCS COMMUNICATION & SPORT

 
 

SOALAN DAN JAWAPAN

( Soalan dan Jawapan ini disediakan adalah bagi menjawab soalan-soalan yang sering ditanya oleh pengguna sebelum menyertai SCS Communication & Sport)

SIAPAKAH PEMILIK SCS COMMUNICATION & SPORT?

SCS Communication & Sport dimiliki oleh 3 orang rakan kongsi yang menjadi Ahli Lembaga Pengarah iaitu SC1-GT, SC1-WW dan SC1LE.

BERAPAKAH JUMLAH FREKUANSI REPEATER SCS COMMUNICATION AND SPORT?

SCS Communication & Sport mempunyai 2 frekuansi repeater iaitu 143.8625mhz dan 143.975mhz, yang mana repeater SCS Communication & Sport yang menggunakan frekuansi 143.8625mhz dinamakan sebagai SLD01-CDR700 dan yang menggunakan frekuansi 143.975mhz dinamakan sebagai SLD02-MT150.

ADA YANG MENGATAKAN BAHAWA FREKUANSI YANG DIGUNAPAKAI OLEH SCS INI ADALAH FREKUANSI YANG TIDAK SAH, TIDAK DILULUSKAN OLEH MCMC?

Kedua-dua frekuansi repeater ini adalah merupakan frekuansi yang sah dan dilesenkan oleh MCMC kepada SCS Communication & Sport. Kami sedia maklum tentang fitnah-fitnah yang dilemparkan kepada SCS Communication & Sport oleh segelintir yang mencemburui kami. Mereka hanya pandai menyebarkan fitnah dan propaganda seperti kata pepatah melayu yang disampaikan oleh Karamsigh Walia TV3 "Ibarat anjing menyalak bukit, menyalak dari pagi sampai malam tetapi bukit tidak pun runtuh". Mereka ini seperti hilang arah tujuan dan tidak tidak mahu bersaing secara sihat. Kami tidak tergugat sedikit pun dengan fitnah dan propaganda yang dicipta oleh puak-puak yang kecewa dan cemburu melihat kami bangun semula setelah pakatan mereka telah menghancurkan SACC yang kami bina dulu, kini berdiri kembali dengan nama dan imej yang baru yang lebih mantap dengan dua repeater yang kami miliki.

SIAPAKAH PENAUNG SCS COMMUNICATION & SPORT DAN KENAPA MEMILIH PENAUNG SEDANGKAN SCS COMMUNICATION ADALAH SEBUAH BADAN KOMERSIL?

Penaung SCS Communication & Sport adalah YBM. Tunku Abdul Jalil Ibni Tunku Osman (9M2TJO). SCS Communication & Sport memilih YBM Tunku sebagai penaung adalah kerana frekuansi yang digunakan adalah merupakan hakmilik atau dilesenkan kepada YBM Tunku. SCS Communication & Sport adalah merupakan pemegang amanah dalam urusan mempergunakan frekuansi tersebut. Oleh yang demikian, adalah wajar YBM Tunku dijadikan sebagai penaung kepada SCS Communication & Sport. Disamping itu juga, segala perkembangan dan aktiviti yang akan dilakukan dalam SCS Communication & Sport akan dimaklumkan kepada YBM Tunku.

APAKAH TUJUAN SCS COMMUNICATION & SPORTS DIWUJUDKAN?
SCS Commnunication & Sports diwujudkan adalah bertujuan untuk menjadi platform kepada SWAL yang berminat dengan radio komunikasi tanpa wayar dan mempunyai hasrat ke arah memiliki Apparatus Assignment (AA) atau lesen radio amatur.

Dengan wujudnya SCS Communication & Sport ini akan memberi peluang kepada SWAL untuk berlatih bercakap seperti yang dipraktikan dalam dunia radio amatur yang sebenar, iaitu dengan penggunaan `Q' code sebagai asas untuk bercakap melalui radio. Disamping itu juga dengan wujudnya SCS Communication & Sport ini akan menjadi alternatif dan dapat mengelakan penggunaan frekuansi-frekuansi `HARAM' yang digunapakai oleh SWAL yang belum mempunyai Apparatus Assignment.

ADAKAH SCS COMMUNICATION & SPORT INI DIWUJUDKAN UNTUK BERSAING DENGAN FREKUANSI RADIO KOMERSIL YANG LAIN?

Tidak. SCS Communication & Sport diwujudkan bukan bertujuan untuk bersaing dengan mana-mana frekuansi radio komersil yang lain. Tujuan dan Objektif penubuhan SCS Communication & Sport adalah jelas untuk dijadikan sebagai satu platform kepada SWAL yang berminat dengan hobi radio, berada dalam frekuansi yang sah. Disamping itu juga, SCS Communication & Sport memberi latihan cara bercakap seperti dunia radio amatur yang sebenar iaitu dengan penggunaan `Q' code sebagai asas untuk berkomunikasi di dalam radio. Justeru itu, wujudnya SCS Communication & Sport bukan bertujuan untuk bersaing dengan mana-mana frekuansi radio komersil yang lain.

ADAKAH SCS SAMA DENGAN SACC?
Ya dan Tidak.

YA - adalah kerana tujuan dan objektif penubuhan SCS adalah sama seperti tujuan dan objektif penubuhan SACC dahulu. Ini adalah kerana idea penubuhan dan segala kertas cadangan yang dikemukakan kepada pihak YBM Tunku adalah dibuat kami.

Tidak - adalah kerana SCS Communication & Sport tidak di miliki secara bersama oleh ahli-ahli/pengguna bekas ahli-ahli SACC.
MENGAPA SACC DAHULU DITUTUP/DIBUBAR?

SACC ditutup/bubarkan adalah kerana kehendak majoriti pemegang syer yang hadir dalam mesyuarat pada 20hb September 2006. Ini adalah kerana mereka tidak dapat memikul tanggungjawab dan tidak dapat menurut kehendak-kehendak syarat yang telah ditetapkan oleh pemilik repeater iaitu YBM Tunku. Malah ada juga individu yang tidak tahu untuk berterima kasih telah mempertikaikan kewibawaan dan kedudukan YBM Tunku sebagai Penaung kepada SACC.

ADAKAH DENGAN PEMBUBARAN SACC DAHULU TELAH MENYEBABKAN AHLI-AHLINYA BERPECAH KEPADA DUA KUMPULAN?
Secara amnya begitulah bila adanya perpecahan dalam kumpulan.
ADAKAH PIHAK SCS MENARIK AHLI-AHLI BEKAS SACC UNTUK MENGGANGOTAI SCS?

Tidak. Kami tidak pernah menarik atau menolak mana-mana bekas ahli SACC untuk menyertai SCS. Ini adalah kerana bidang radio ini adalah satu hobi dan bukannya parti politik untuk mencari pengaruh dan membuat kubu-kubu tertentu serta memburuk-burukan individu tertentu. Pada kami, jika sudah tiada penyesuaian atau tidak boleh untuk bekerjasama dengan misi dan visi kami, maka mereka berhak untuk keluar dan mewujudkan apa jua kelab/badan yang dibentuk oleh mereka mengikut citarasa misi dan visi masing-masing. Dalam soal ini profesionalisme dalam bekerja adalah yang paling utama. Ini adalah kerana ramai orang yang hanya pandai bercakap, tidak kurang juga yang hanya tahu melihat kesalahan orang serta mengkritik serta ada juga yang suka menjadi batu api. Bagi pihak SCS, mana-mana ahli bekas SACC yang ingin menyertai atau bergabung dengan SCS, kami menerimanya dan kepada yang tidak ingin bersama SCS pun kami tidak memusuhinya. Pada kami, jika boleh mengikuti syarat dan peraturan SCS, maka kami bersedia menerima rakan-rakan yang ingin bergabung bersama SCS.

MENGAPA SC1-GT DAN SC1-LE SAHAJA YANG DILIHAT SEBAGAI TIADA PENGARUH UNTUK MENARIK BEKAS AHLI-AHLI SACC UNTUK MENYERTAI SCS?

Seperti yang dimaklumkan tadi bahawa ini adalah satu hobi dan tiada gunanya untuk berpuak-puak, melemparkan fitnah dan memusuhi sesiapa. Jika ada bekas ahli SACC yang ingin berbuat demikian, terserahlah kepada mereka atas apa niat mereka untuk berbuat demikian. Kami tidak pernah untuk memusuhi atau membuat apa-apa fitnah kepada sesiapa. Kalau dulu hanya kami berdua sahaja mampu untuk mewujudkan SACC dan ianya dimusnahkan oleh rakan-rakan yang lain, pada hari ini kami berdua juga yang mewujudkan SCS sebagai ganti kepada SACC bagi menyediakan platform kepada SWAL untuk mengenal dunia radio amatur. Pada kami, kebenaran itu akan terserlah jua walaupun pelbagai cerita dan fitnah yang dilemparkan kepada kami bagi memusnahkan SACC dahulu. Pada hari ini SCS Communication & Sport adalah satu lambang kemenangan moral kepada kami.

SIAPAKAH SC1-WW DALAM SCS COMMUNICATION & SPORT?

SC1-WW adalah merupakan Ahli Lembaga Pengarah dalam SCS Communication & Sport. Beliau adalah abang angkat kepada SC1-LE yang telah terpisah selama lebih 10 tahun. Hobi radio ini yang telah menemukan mereka semula dan seterusnya beliau turut serta dalam membangunkan SCS Communication & Sport ini sebagai satu platform kepada SWAL yang ingin mengenali dunia radio amatur.

BAGAIMANA SAMBUTAN PEMINAT-PEMINAT RADIO AMATUR KEPADA SCS KHUSUSNYA SWAL?

Alhamdulillah, ahli/pengguna di SCS adalah terdiri daripada SWAL yang baru dan bukannya dikalangan bekas ahli SACC. Mereka ini datang kepada SCS untuk mendaftar sebagai pengguna setelah mereka menilai keupayaan kami memimpin dan menyediakan platform kepada SWAL yang berminat dengan dunia radio amatur. Ini adalah kerana kami telah menunjukan kecemerlangan kami dalam menyediakan perkhidmatan ini semasa kami mewujudkan SACC dahulu. Lagi pun mereka ini adalah golongan cerdik pandai dan tidak mudah terpengaruh dengan fitnah atau hasutan serta tahu menilai yang mana intan atau kaca.

BERAPA RAMAIKAH PENGGUNA DI SCS PADA MASA SEKARANG INI?

Pada masa sekarang ini, pada tarikh 10 Januari 2007 kami mempunyai ahli pengguna seramai 62 orang dan angka ini sering bertambah dengan purata kemasukan pengguna baru seramai 4-6 orang sebulan.

ADAKAH SCS MENDAPAT SOKONGAN DARI MANA-MANA BADAN ATAU INDIVIDU YANG LAIN?

YA. wujudnya SCS ini telah mendapat sokongan dari badan-badan radio amatur serta individu-individu yang terdiri daripada 9M2 dan 9W2. Ianya menjadi badan penasihat kepada SCS dalam menentukan hala tuju serta menyumbang idea ke arah memartabatkan dunia HAM di Malaysia.



 
 

©Copyright SCS Communication & Sport 2006

 

Penafian : Pihak SCS Communication & Sport tidak bertanggungjawab terhadap kehilangan atau kerosakan yang dialami oleh pelayar web jika disebabkan maklumat dari laman web ini. Sekiranya ada sebarang cadangan/komen sila email kepada webmaster@scs.net.my